SEJARAH

PENGENALAN

Sejarah kewujudan pejabat percetakan kerajaan Sabah bermula pada tahun 1883. Lokasi pejabat rasmi pertama percetakan pada masa itu ialah di No.1, Dent Road, Kudat. Kudat ialah ibu negeri dan pusat pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara atau The British North Borneo Chartered Company yang memerintah Borneo Utara. Ia menerbit Akhbar Rasmi kerajaan "The North Borneo Herald and Official Gazette" (1). pada tahun 1883 -1941.

Sejak operasi percetakan bermula lebih 100 tahun dahulu pejabat percetakan ini memainkan peranannya sebagai pencetak rasmi Syarikat Berpiagam Borneo Utara, Kerajaan British Borneo Utara pada masa itu dan kini kerajaan negeri Sabah. Tugas dan peranan jabatan bertambah. Iaitu selain dari mencetak, membekal alatulis serta keperluan bahan-bahan bercetak dan terbitan kerajaan kepada pejabat kerajaan ia juga bertanggungjawab melaksanakan tugasan percetakan bahan cetak untuk setiap Pilihanraya Umum dan Kecil di negeri Sabah. Kerja-kerja percetakan kertas undi dan poster untuk negeri Sabah yang diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dicetak di pejabat ini.


Image

Gambar Bangunan Blok C, yang menempatkan Pejabat Pencetak Kerajaan dan Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, terletak di Kilometer 4, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu.

Di bawah Pemerintahan Syarikat Inggeris Borneo Utara (British North Borneo Company) tersebut Jabatan Cetak diketuai oleh seorang Penguasa (Superintendent) yang juga bertugas sebagai Editor, "The Herald" (1883-1941) (2). Seorang Editor yang utama pada masa itu ialah Encik D.D. Daly dan beliau juga adalah Setiausaha Sulit kepada Gabenor (Private Secretary to H. E. the Governor).


PENCETAK KERAJAAN PERTAMA

Ketua Jabatan pertama yang juga digelar Pencetak Kerajaan ialah Encik Thomas James Kenaughran (1883 - 1884). Sistem pentadbiran dan stuktur organisasi pada masa zaman British adalah berbeza dengan sekarang. Di masa pemerintahan British, Ketua Jabatan ialah Pencetak Kerajaan dan pegawai yang terkanan di bawahnya ialah Penguasa. Penguasa bertanggungjawab mengawal semua bahagian pengeluaran. Sekarang, Ketua Jabatan ialah Pencetak Kerajaan Sabah atau Pegawai Penerbitan, Gred N54 dan dibantu oleh Timbalan Pencetak Kerajaan, Gred N48, Pegawai Penerbitan, Gred N44, Pegawai Penerbitan, Gred N41 serta beberapa orang Penolong Pegawai Penerbitan, Gred N32 dan Gred N27.


PEJABAT PERCETAKAN BERPINDAH KE SANDAKAN

Dari Kudat, Jabatan Cetak Kerajaan (3) dipindah ke Sandakan pada awal tahun 1885. Kemudian berpindah ke Jesselton atau Api-Api (4), pada tahun 1918. Bangunannya pada masa itu terletak di 51 Gaya Street (5). Bangunan ini sekarang ialah pejabat Perbadanan Pelancongan Negeri Sabah. Pada tahun 1935 Jabatan Cetak sekali lagi berpindah ke Sandakan sehingga Perang Dunia Kedua. Lokasi pejabat percetakan di Sandakan pada masa itu ialah berhampiran pejabat-pejabat kerajaan seperti Penjara dan Berek Polis.

Ketika Borneo Utara di bawah pemerintahan Jepun (1941-1945), Jabatan Cetak ditadbir oleh Tentera Jepun sehinggalah mereka menyerah kalah pada tahun 1945. Selepas Perang Dunia Kedua, Kerajaan British sekali lagi mentadbir negeri ini selepas membelinya daripada Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan menjadikan Negeri Sabah sebagai jajahannya. (6)


PEJABAT PERCETAKAN BERPINDAH KE KOTA KINABALU

Jabatan Cetak bertapak semula di Kota Kinabalu. Bangunan tetap Jabatan Cetak Kerajaan Sabah di Kilometer 7, Jalan Kepayan yang siap dibina pada tahun 1950 dan digunakan sehingga tahun 1977. Dengan adanya bangunan itu, beberapa alat percetakan ceparas kuasa elektrik seperti Linotype dan mesin cetak Centurion mulai digunakan selain mesin-mesin yang dikendalikan secara manual. Lokasi Pejabat Jabatan Cetak kemudian berpindah ke Km 4, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu pada tahun 1977. Pemodenan proses percetakan terus dilakukan sehinggalah ke saat ini dengan perolehan aset-aset dan perkakasan percetakan yang sesuai.

Selepas Sabah mencapai kemerdekaan dan pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, jabatan ini terus berkembang mengikuti perkembangan pembangunan Negeri yang pesat pada masa itu. Bilangan pegawai dan kakitangan juga telah bertambah kepada lebih 100 orang berbanding cuma lebih 28 orang selepas Perang Dunia Kedua. Datuk Sulong Sariul ialah orang tempatan pertama yang dilantik sebagai ketua jabatan dan Pencetak Kerajaan pada tahun 1965.



Rujukan



Ketua-Ketua Jabatan dari tahun 1883 hingga ke hari ini:


Bil. Nama Nama Jawatan Tahun Era
1 T. J. Kenaughran Pencetak Kerajaan 1883 - 1884 Syarikat Berpiagam Borneo Utara (Kudat)
2 W. J. Rozario Pencetak Kerajaan 1884 - 1893 Syarikat Berpiagam Borneo Utara (Sandakan)
3 F. M. Andrews Pencetak Kerajaan 1894 - 1900 Syarikat Berpiagam Borneo Utara (Sandakan)
4 M. Titus Pencetak Kerajaan 1900 - 1903 Syarikat Berpiagam Borneo Utara (Sandakan)
5 S. W. Russells Pencetak Kerajaan 1905 - 1932 Syarikat Berpiagam Borneo Utara (Sandakan-Jesselton)
6 A. J. Pereira Clerk-In-Charge 1932 - 1942 Syarikat Berpiagam Borneo Utara (Sandakan-Jesselton)
7 Watanabe Pegawai Jepun 1942 - 1945 Tentera Jepun (Sandakan)
8 P.S. Dasan Penguasa 1947 - 1948 Selepas Perang Dunia Kedua (Sandakan)
9 G. M. Harchie Pencetak Kerajaan 1949 - 1951 Selepas Perang Dunia Kedua (Sandakan-Jesselton)
10 Mr. William A. Spradbrow Pencetak Kerajaan 1951 - 1965 Jajahan British-Merdeka (Jesselton-Kota Kinabalu)
11 Datuk Sulong bin Sariul Pencetak Kerajaan 1965 - 1973 Merdeka
12 Datuk Haji Noor Arrifin Lokman Pencetak Kerajaan 1974 - 1976 Merdeka
13 Datuk Liew Sak Siong Pencetak Kerajaan 1976 - 1993 Merdeka
14 Charles Ayub Tabad Pencetak Kerajaan 1993 - 1995 Merdeka
15 Datuk Felix Golingi Pencetak Kerajaan 1995 - 1998 Merdeka
16 Haji Rahman Ghani Pencetak Kerajaan 1998 - 2000 Merdeka
17 Datuk Felix Madan Pencetak Kerajaan 2000 - 2001 Merdeka
18 Datuk Haji Jamdin Buyong Pencetak Kerajaan 2001 - 2002 Merdeka
19 Datuk Dr. Hj. Hamzah Hj. Amir, J.P. Pencetak Kerajaan 2002 - 2007 Merdeka
20 Charles Ayub Tabad Pencetak Kerajaan 2007 - 2008 Merdeka
21 Mohd. Arshad Abd. Razak Pencetak Kerajaan 2008 - 2009 Merdeka
22 Tuan Haji Salsidu Bin Haji Ibrahim Pencetak Kerajaan 2009 - 2016 Merdeka
23 Politin @ Wenen Mobiji Pencetak Kerajaan 2017 - 2020 Merdeka
24 Roland Fred Phan Pencetak Kerajaan 2020 - 2023 Merdeka
24 Liew Chern Wei Pencetak Kerajaan 2023 - Kini Merdeka


Ke Laman Utama